Sistem Kapitalis
Sistem
kapitalis merupakan satu sistem ekonomi yang wujud sejak kurun ke-19. Di antara
ciri-ciri terpenting sistem ini ialah ia mengamalkan dasar pasaran bebas dan pemilikan
harta persendirian. Dalam sistem ini, manusia bebas mentadbir dan
menggunakan sumber-sumber yang ada tanpa banyak campur tangan daripada
kerajaan. Kerajaan tidak mengawal sumber dan tidak juga menetapkan upah dan
harga. Ini semua ditentukan oleh permintaan dan penawarnya. Di bawah sistem ini
, individu dan pihak lain termasuk syarikat boleh memiliki harta, menjual dan
memindahkannya dengan bebas. Namun begitu, untuk menjamin bahawa sistem ini
berjalan lancar dan tidak mempunyai sebarang unsur penindasan dan penipuan di
antara pihak pembekal dan pengguna, kerajaan dalam keadaan-keadaan tertentu
boleh memainkan peranan dalam pasaran. Biasanya penglibatan ini terhad kepada
pengenalan serta pelaksanaan peraturan dan undang-undang bagi menjamin kegiatan
ekonomi dapat berjalan dengan teratur. Amerika syarikat adalah di antara contoh
negara yang mengamalkan sistem ini.
Sistem Ekonomi Sosialis
Sistem
ini merupakan satu sistem yang mengenakan beberapa sekatan ke atas kuasa
pasaran dan pemilikan harta persendirian. Dalam sistem ini, kerajaan mengawal
dan memiliki sumber-sumber keperluan utama seperti bekalan elektrik, air,
telekomunikasi, tenaga, industri-industri berat dan sumber-sumber pertanian.
Manakala pihak swasta atau persendirian pula hanya di benar mengendalikan dan
memiliki perniagaan-perniagaan kecil dan tidak penting. Dengan itu, kerajaan
menguasai pasaran dan menjadi peserta utama yang menetapkan upah harga dalam
pasaran. Negara-negara yang mengamalkan sistem ini adalah negara-negara Eropah
Timur, Myanmar, Laos dan beberapa negara di Afrika.
Sistem Ekonomi Komunis
Sistem
ini tidak mengiktiraf pemilikan harta persendirian dan mengetepikan langsung
dasar pasaran bebas. Segala pentadbiran, pemindahan dan pengagihan sumber
semuanya adalah diuruskan oleh kerajaan. Rakyat dan swasta tidak dibenarkan
langsung menguasai sumber-sumber negara. Sebaliknya sumber-sumber negara
diagihkan kepada rakyat mengikut kehendak kerajaan. Sistem ini telah diamalkan
oleh bekas Kesatuan Soviet, Republik Rakyat China, Cuba dan sebahagian
negara-negara Afrika. Sistem ini telah pun runtuh di beberapa buah negara asta
kehendak rakyatnya sendiri.
Sistem Ekonomi Campuran
Sistem
ekonomi campuran merupakan satu sistem ekonomi hasil daripada campuran dia
atara sistem kapitalis dan sistem sosialis. Melalui sistem ini, kerajaan dan
pihak persendirian atau swasta bekerjasama untuk membentuk satu pasaran yang
lebih adil. Dasar-dasar kerajaan digubal secara menyeluruh dan merangkumi semua
pihak termasuk pihak swasta atau persendirian. Kerajaan sebagai pentadbir walau
bagaimanapun boleh campur tangan dalam pasaran serta urusan ekonomi dan
kewangan apabila keadaan memerlukan.
Hak
milik kerajaan dan persendirian akan digembleng untuk kebaikan rakyat. Walaupun
kerajaan menjadi pemilik kepada badan-badan utiliti tertentu tertentu
namun pihak swasta atau persendirian juga dibenarkan terlibat dalam
kegiatan-kegiatan perniagaan yang besar serta menjadi pemilik kepada
industri-industri gergasi yang penting di negara ini bahkan berbagai-bagai
insentif diberikan untuk menggerakkan kegiatan sektor swasta. Malaysia adalah
di antara negara yang mengamalkan sistem ekonomi campuran.
Ekonomi Islam
Kegiatan
ekonomi Islam merupakan satu kewajipan yang penting di dalam Islam. Tuntutan
terhadap ekonomi di dalam Islam adalah penting kerana Islam satu cara hidup
yang menyatupadukan kehendak-kehendak kebendaan dan rohaniah manusia.
Asas-asas
ekonomi Islam terkandung di dalam Al-Quran dan juga sunah Rasulullah s.a.w.
Daripada sumber-sumber ini, ulamak-ulamak dan ahli-ahli ekonomi Islam telah
mengupas beberapa prinsip sistem ekonomi Islam. Prinsip-prinsip utama
dirumuskan seperti berikut:
1. Konsep Pemilik Di benar Dan Khalifah
2. Integrasi Antara Nilai-Nilai Akhlak Dan Kegiatan Ekonomi
3. Sikap Positif Terhadap Aktiviti Dan Pembangunan Ekonomi
4. Agihan Semula Kekayaan
5. Perkongsian Untung (Dan Rugi)
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/110-ekonomi/5698-sistem-sistem-ekonomi.html